Beliau berkata insentif meliputi pembangunan infrastruktur seperti dewan terbuka bertujuan menyediakan prasarana yang lebih baik dan selesa untuk pengusaha inap desa melaksanakan pelbagai aktiviti bagi menarik kedatangan pengunjung atau pelancong ke premis mereka.

Bagaimanapun, katanya, mereka perlu mematuhi beberapa kriteria yang ditetapkan termasuk sekurang-kurangnya satu kampung atau kawasan perlu mempunyai minimum 10 peserta inap desa atau rumah yang terlibat.


"Insentif ini dilihat bukan sahaja dapat memberi keselesaan kepada pengunjung namun secara tidak langsung, ia dapat membantu pembangunan prasarana atau infrastruktur yang lebih baik dan terancang di kawasan inap desa.

"Justeru itu, kita menggesa lebih ramai pengusaha inap desa di negara ini agar berdaftar di bawah MOTAC bagi memastikan mereka mendapat beberapa manfaat dalam usaha untuk memajukan industri tersebut dan menjana pendapatan lumayan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka Orang Ramai Homestay Kampung Paya Lebar di Masjid Tanah di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Rashidi Hasbullah dan Pengarah Pelancongan dan Kebudayaan negeri Jeffri Munir.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata pengusaha yang berdaftar di bawah MOTAC akan diberi latihan, kemahiran dan ilmu untuk mengurus serta mengendalikan perniagaan inap desa secara lebih sistematik.

Beliau berkata pengusaha inap desa juga akan dibantu mewujudkan laman sesawang dan media sosial bagi memperkenalkan 'homestay' mereka secara lebih meluas dan pakej yang boleh diwujudkan untuk mempromosikan inap desa milik mereka.


"Sekarang ini, kita dapat lihat perniagaan inap desa di negara ini semakin berkembang dan bagaikan cendawan tumbuh...ada sahaja rumah atau premis kosong yang dijadikan inap desa dan strategi yang yang perlu digunakan untuk mempromosikan inap desa masing-masing," katanya.

Mas Ermieyati berkata sehingga kini, sebanyak 206 kluster inap desa melibatkan 3,994 pengusaha dengan jumlah 5,604 bilik didaftarkan di bawah Program Pengalaman Homestay Malaysia.

Tahun lepas, Program Pengalaman Homestay Malaysia menjana pendapatan RM30.1 juta berbanding RM27.7 juta pada 2016. - BERNAMA