Pengarahnya, Awang Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, sektor pelancongan baharu itu mempunyai potensi untuk dibangunkan memandangkan Sabah mempunyai lokasi menarik untuk dilawati.

Malah menurutnya, MOTAC dan operator pelancongan perlu bersama-sama mencari idea terkini bagi memastikan sektor pelancongan baharu itu terus berkembang di masa depan.

"Peranan sukarelawan ini bukan hanya melancong tetapi turut serta memulihara habitat, terumbu karang dan menanam tukun tiruan selain pembersihan laut.

"Dalam erti kata yang lain, mereka (sukarelawan) melancong dengan duit sendiri dan melakukan kerja-kerja sukarela," katanya kepada pemberita pada Program 1Voluntourism Penanaman Tukun Tiruan di Pulau Bum Bum : End in Sipadan di ND Divers di sini hari ini.

Program yang bermula pada Selasa hingga Jumaat ini dengan penglibatan 30 peserta sukarelawan itu dilaksanakan dengan kerjasama MOTAC, Persatuan Backpackers Sabah (SBA), Richie Lee, pemilik ND Divers, Anuar Ismail serta jurutera projek, Octavius @ Dares Asaad.

Dalam pada itu, kata beliau, MOTAC juga berusaha mengetengahkan aktiviti selaman makro di negeri ini.

Kata beliau, kawasan yang menempatkan banyak hidupan marin makro itu amat sesuai untuk memproses dokumentasi hidupan berkenaan selain belum sepenuhnya diteroka oleh penyelam skuba.

"Melihat kepada saingan industri pelancongan penyelaman makro dan kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat, MOTAC dengan kerjasama pusat peranginan penyelaman akan memberi fokus kepada industri tersebut.

"Ini masa yang paling tepat untuk kita memberi fokus menjenamakan semula Sabah sebagai destinasi selaman makro.

"Kita sudah ketinggalan dalam aspek menjenamakan semula negeri kita sebagai 'macro diving' jika dibandingkan dengan negara jiran lain seperti Indonesia dan Filipina," katanya. - UTUSAN ONLINE