Pengarah Pejabat MOTAC Melaka, Jeffri Munir berkata, usaha tersebut mampu dilaksanakan dengan penganjuran program ibadah korban dan akikah sempena sambutan Aidiladha melibatkan pelancong luar yang beragama Islam.

Menurutnya, sektor pelancongan ibadah ini berpotensi untuk dikembangkan di negeri ini memandangkan terdapat permintaan tinggi terutamanya daripada pelancong Singapura memandangkan ibadah korban dan akikah tidak boleh dilaksanakan di negara berkenaan.

“Sehubungan itu, program ibadah yang diadakan saban tahun di negeri ini mampu menjadi peluang terbaik untuk kita menarik lebih ramai pelancong menyertainya sekali gus membolehkan mereka beribadah.

“Program seumpama ini telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dan mendapat sambutan menggalakkan dan kita berhasrat untuk membuka peluang kepada pengusaha-pengusaha pelancongan negeri sendiri menganjurkannya pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar mempromosikan program Visit My Kampung Sempena Ibadah Korban Aidiladha Warga Singapura di Hotel Seri Malaysia, di sini.