Tahap kesukaran mendaki penting untuk diketahui. Ini kerana gunung yang rendah tidak bermakna mudah didaki dan sebaliknya. Begitu juga, pendakian secara day trip tidak bermakna mudah walaupun gunung atau bukit itu dikunjungi ramai orang, ia tetap berisiko jika tidak membuat persediaan secukupnya.

Presiden Malaysian Mountain Search and Rescue Society (Mosars - Persatuan Mencari dan Menyelamat Gunung Malaysia), Muzafar Mohamad berkata, sebelum mendaki, dapatkan maklumat mengenai penganjur iaitu adakah kawan-kawan sendiri yang menganjurkan atau penyertaan terbuka oleh syarikat, kelab, persatuan atau individu.

“Dapatkan track record penganjur. Boleh buat rujukan silang dengan rakan-rakan atau persatuan atau penggiat rekreasi gunung. Khidmat jurupandu gunung terlatih penting kerana kemahiran dan pengalaman mereka dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan di gunung. Jadi, boleh rujuk kepada Mosars,” katanya kepada S2.

Selain itu, Muzafar menegaskan faktor kesihatan amat penting sebelum memulakan pendakian. Tanya diri sendiri adakah benar-benar sihat dan mampu melakukan aktiviti lasak itu.

Beliau menasihatkan pendaki supaya melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun atau enam bulan sekali bagi memastikan tahap kesihatan sesuai untuk mendaki.

“Ada peserta menipu ketika mengisi borang perakuan diri. Terdapat ruang berkaitan kesihatan yang perlu diisi. Mereka menulis tidak ada penyakit, sedangkan ada yang mengidap lelah, masalah jantung atau darah tinggi.

“Penganjur perlu tahu sama ada seseorang pendaki menghidap penyakit tertentu. Ini kerana apabila berlaku perkara tidak diingini, penganjur mudah melakukan apa yang sepatutnya,” katanya.