Buku itu diterbitkan khusus sebagai rentetan promosi kepada kejayaan Program Lestari Kolej Siswa iaitu Jom Deco! yang mentranformasi persekitaran kawasan penginapan pelajar secara lebih harmoni dan kondusif dengan keceriaan mulai 2016.

Buku Momentum, setebal 39 muka surat itu yang turut diselitkan dengan puisi dan pantun disempurnakan pelancarannya oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong di Dewan Al Irfan Kolej Siswa UMT, di sini petang ini.

Yang turut hadir dalam program yang turut mengambil sempena ulang tahun UMT ke-15 itu ialah Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar dan Timbalan Pengetua Kolej Siswa Pembelajaran Kedua, Dr. Che Wan Ida Rahimah Che Wan Ibrahim.

Menurut Dr. Nor Aieni, penerbitan buku itu merupakan sebahagian dari hasil usaha menkatalogkan hasil karya yang dihasilkan secara bersama oleh lebih 350 orang warga kolej.

"Momentum merupakan platform yang membuktikan bahawa pelajar UMT adalah kreatif, berpengetahuan seni serta memiliki kemahiran yang mengkagumkan dalam eksplorasi nilai estetika," ujar beliau kepada pemberita.

Justeru, Momentum juga merupakan medium perkongsian maklumat untuk memberi pendedahan kepada masyarakat dan pemain industri tentang bakat dan kemahiran dimiliki pelajar UMT.

"Ia juga strategi untuk mengubah paradigma pelajar untuk menjana pekerjaan dalam bidang kreatif seperti pelukis mural, konsultan, pengendali peralatan teknikal mural dan pereka grafik.

"Inisiatif tersebut selaras dengan misi pembangunan kampus lestari seperti direncanakan dalam Pelan Strategik UMT 2013-2017," katanya. - UTUSAN ONLINE