Pemegang ijazah muzik dari Berklee College of Music Boston, Amerika Syarikat (AS) itu berkata, pelantikan itu adalah di luar dugaan kerana China bukan sahaja mempunyai ramai pemuzik hebat, malah dianggarkan terdapat 30 juta rakyat negara itu bermain piano.

“Untuk menembusi pasaran muzik di sebuah negara yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai di dunia bukanlah satu perkara yang mudah, apatah lagi dalam bidang seni muzik piano, China tidak kurang dengan bakat-bakat bertaraf dunia.

“Malah, saya juga telah dijemput mengadakan seminar muzik bertajuk Awakening The Creativity di Liuzhou yang dihadiri lebih 500 pemain piano terkenal dan profesor piano dari seluruh dunia,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Kata Mokhzani, pengiktirafan itu diperoleh selepas beliau bermain piano di Luizhou yang turut disaksikan oleh wakil pengeluar jenama instrumen itu dan isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang juga merupakan pemain piano.

Komposer itu berkata, secara kebetulan beliau menyampaikan beberapa buah lagu jazz dan daripada situ pihak syarikat tersebut tertarik dan seterusnya mengundangnya mengadakan persembahan sekali gus melantik sebagai duta mereka.

“Saya juga telah dijemput untuk mengadakan persembahan bersama beberapa pemuzik Malaysia bagi mewakili negara di Beijing dan Tianjin pada 26 sehingga 30 Oktober ini sebelum menandatangani perjanjian rasmi sebagai duta Hagspeil di Beijing,” ujarnya.