Penasihat Kedutaan Besar Malaysia di Korea Utara, Mohd. Nor Azrin Md. Zain berkata, kesemua mereka berada dalam keadaan selamat dan sihat malah bekalan maka­nan halal juga baru sahaja diperoleh dengan bantuan rakan-rakan yang berada di Pyongyang.

“Tiada apa yang ingin kami minta selain teruskan berdoa untuk kami semua di sini.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah mengarahkan solat hajat dijalankan untuk keselamatan ka­mi di sini. Terima kasih atas ingatan dan doa rakyat Malaysia terhadap kami,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara mula terjejas berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara di lapangan terbang antarabangsa (KLIA2), 13 Februari lalu.

Berikutan itu, kerajaan mengusir Duta Korea Utara, Kang Chol dalam tempoh 48 jam kerana berterusan membuat tuduhan ti­dak berasas kepada Malaysia dan mengisytiharkannya sebagai persona non grata.

Walau bagaimanapun, Korea Utara bertindak balas dengan menahan 11 rakyat Malaysia di Korea Utara, namun dua daripada mereka selamat keluar dan kini berada di Beijing.

Setakat ini, terdapat seramai sembilan rakyat Malaysia masih tidak dibenarkan keluar daripada negara itu dan perbincangan untuk membawa pulang kumpulan ber­kenaan sedang berlangsung.

Menurut Mohd. Nor Azrin, setiap hari Wisma Putra akan memantau perkembangan terkini me­ngenai ke­adaan kakitangan kedutaan.

“Wisma Putra akan dimaklumkan dengan keadaan kami dan kami juga sentiasa dalam keadaan bersiap sedia jika diarahkan untuk pulang ke Malaysia,” katanya.