Ketuanya, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, beliau menunggu perkembangan siasatan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa individu berkaitan isu kilang haram di Sungai Lembu dekat Penanti sebelum mendedahkan kepada umum beberapa lagi kilang ha­ram yang masih beroperasi.

Menurutnya, beliau sendiri akan membawa petugas media meninjau kilang-kilang terbabit di sekitar Seberang Perai dalam masa terdekat ini bagi membuktikan kepincangan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan yang gagal bertindak terhadap isu itu.

“Sebagaimana yang saya janjikan sebelum ini, kita akan bawa petugas media melawat sendiri kilang-kilang haram itu, namun beri saya masa untuk meneliti beberapa perkara.

“Pada masa sama saya perlu menunggu perkembangan siasatan yang dibuat SPRM kerana kita tidak mahu mengganggu proses siasatan yang mereka buat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis korban perdana melibatkan 14 ekor lembu yang diadakan di Kampung Tanjung Putus dekat sini yang diagihkan kepada penduduk sekitar kawasan itu.

Isu kilang memproses habuk kayu di Sungai Lembu yang beroperasi secara haram sejak lebih 10 tahun lalu itu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin sebelum ia diserbu SPRM bulan lalu.

Susulan serbuan yang turut dilakukan ke atas pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), SPRM telah menahan reman Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh untuk membantu siasatan.

Mohd. Zaidi juga sebelum ini mengakui kewujudan kilang-kilang haram di sekitar Bukit Mertajam dimanipulasi daripada kelemahan pentadbiran dan tadbir urus MPSP sendiri.

“Pihak penduduk serta pe­mimpin tempatan akan beker­jasama dengan SPRM untuk mendedahkan lebih banyak kawasan yang turut mengalami nasib sama sehingga mengancam kesihatan penduduk sekitar.

“Ini kerana sudah berkali-kali isu kilang haram tersebut dibangkitkan dalam sidang DUN oleh Norlela dan dibawa ke penge­tahuan atasan kerana beliau me­nerima aduan daripada penduduk setempat, namun tiada sebarang tindakan diambil,” ujarnya.