Dalam perjumpaan kira-kira dua jam itu, beliau berjanji akan membantu semua mangsa kebakaran termasuk mengenalpasti langkah penyelesaian isu setinggan dalam tempoh jangka masa panjang.

Katanya, bagi penyelesaian jangka masa pendek, kerajaan akan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan kesihatan selain menempatkan mereka di beberapa lokasi pusat pemindahan sementara bagi tujuan keselesaan.

“Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat akan memberi fokus terhadap kesihatan dan kesejahteraan mangsa khususnya kanak-kanak dan warga emas.

“Bantuan kelengkapan lain termasuk makanan secara harian perlu diberi perhatian agar dapat disalurkan secara terus kepada semua mangsa kebakaran,” katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Stephen Wong Tie Fatt.

Kira-kira 150 buah rumah yang didiami sebanyak 783 orang musnah dalam kejadian kebakaran di kawasan setinggan Kampung Cenderamata Dua, Likas di sini, semalam.

Kebakaran yang bermula pada pukul 2 petang itu merebak dengan cepat disebabkan kedudukan rumah yang berdekatan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - UTUSAN ONLINE