Tidak hairanlah apabila syarikat penjana kuasa tenaga dan air bebas ternama pernah membayar puluhan ribu ringgit kepada Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu kerana menterjemahkan tender perjanjian bahasa Perancis kepada bahasa Melayu.

Kepakaran menterjemah pelbagai bahasa itu turut dituntut pelbagai agensi seperti mahkamah dan polis bagi membantu kes-kes jenayah, menyediakan sari kata untuk filem ‘Pontianak Harum Sundal Malam’ yang bertanding di Festivel Filem Cannes, penulis kamus dwi bahasa Itali - bahasa Melayu serta banyak lagi.

Mohd. Ridzuan

“Sebenarnya saya penerima biasiswa pendidikan dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pemegang ijazah kejuruteraan awam dari sebuah universiti di Amerika Syarikat, namun rezeki kerjaya lebih memihak dalam bidang bahasa.

“Kemahiran menguasai bahasa asing bermula di tingkatan satu di Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) apabila semua pelajar diberi peluang mengambil bahasa ketiga, jadi saya memilih bahasa Perancis,” katanya yang bakal bergelar Prof. Madya hujung bulan ini kepada Utusan Malaysia di sini.

Menjadi penterjemah dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa sejak tahun 2012, Mohd. Ridzuan bersyukur kerana bidang bahasa yang pada awalnya hanya minat kini menjadi sumber pendapatan tetap dan sampingannya.

Walau bagaimanapun bapa kepada lima cahaya mata itu memberitahu, bahasa Melayu masih bertakhta di hati sebagai bahasa paling disayangi dan dihormati.

“Saya telah menetap di luar negara lebih 10 tahun dan sentiasa terbuka untuk belajar lebih banyak bahasa asing tetapi kalau diberi pilihan untuk berbual saya lebih senang menggunakan bahasa Melayu,” katanya. - UTUSAN ONLINE