Pada 2016, Mohd. Noor mencapai sasaran mendaki tangga Menara Kuala Lumpur sebanyak 21 kali dari 23 hingga 24 Disember.

Beliau kemudiannya memulakan pendakian menawan tujuh puncak Banjaran Himalaya iaitu Gokyo RI Peak pada ketinggian 5,557 meter (m), Nagarjun Peak (5,100m), Chukung RI (5,550m), Kongma La Pass (5,500m), Khalapattar (5,550m), Eve­rest Base Camp (5,364m) dan Chola-La Pass (5,420m) dari 25 April sehingga 17 Mei tahun lalu.

Menurutnya, pengiktirafan itu adalah pencapaian tertingginya selepas mencatatkan tujuh kejayaan dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) untuk kategori pendakian solo.

“Kejayaan ini adalah satu ganjaran atas komitmen yang diberikan, malah ketika menawan Banjaran Himalaya pada ketinggian 5,200m, saya hampir kehilangan jari kiri saya kerana mengalami reput fros ekoran ribut salji berpanjangan.

“Cabaran-cabaran ini menguatkan lagi semangat saya untuk terus menawan ketinggian (bangunan, gunung atau bukit) dan menyasarkan untuk mencipta rekod dunia menawan puncak tertinggi Gunung Kinabalu, Sabah sebanyak 165 kali selama 165 hari," katanya.

Mohd. Noor berkata demikian ketika ditemui selepas menerima replika sijil yang disampaikan oleh Ketua Editor Asia Book of Records, Dr. Biswaroop Roy Chowdhury di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Noor yang juga jurugambar Utusan Malaysia berharap kejayaannya mampu menjadi pendorong kepada pendaki-pendaki lain untuk terus menawan ketinggian dengan kesediaan menghadapi pelbagai kemungkinan.

“Pelbagai cabaran yang terpaksa saya lalui untuk berada pada tahap ini termasuklah kecederaan fizikal dan terpaksa menggunakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk meneruskan misi.

“Saya berharap, pencapaian saya menjadi pembakar sema­ngat buat pendaki Malaysia lain untuk terus menempa nama di mata dunia,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Noor turut memberitahu, dia tidak merancang untuk berhenti dan akan meneruskan misi pendakian selagi mampu berbuat demikian serta mempunyai kesihatan yang baik.