Lega dengan perkembangan itu, isterinya, Prof. Madya Dr. Zurinawati Mohi, 48, berkata, suaminya yang ditembak di kaki dan badan juga dapat mengecam suaranya ketika dihubungi pukul 6 pagi ini.

“Saya bertanyakan tiga perkara kepada suami, bagaimana keadaan dia, adakah dia okey dan apakah dia mengingati saya? Suami menjawab ya dan memaklumkan dia sakit,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 8 di Shah Alam, hari ini.

Zurinawati yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam berkata, jururawat yang bertugas juga memaklumkan suaminya stabil.

“Suami juga baru menjalani pembedahan pertama dan masih separuh sedar. Selepas ini dia perlu

menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) sebelum menjalani pembedahan kedua pula,” jelasnya.

Tambah Zurinawati, dia dan anak sulungnya, Muhammad Haiqal Daniel, 19, akan bertolak ke New Zealand menerusi penerbangan melalui Singapura hari ini.

“Jika segala urusan berjalan lancar, kami dijangka tiba di negara itu pagi esok,” katanya.

Jelasnya, ketika ini dia hanya memikirkan keadaan suaminya dan soal sama ada mahu membawa pulang mangsa serta tiga anak mereka ke tanah air akan diputuskan kemudian.

“Pada waktu ini, Muhammad Haqiem, 18, menjaga bapanya di hospital itu, manakala dua adiknya, Muhammad Hazieq Daniel, 13, dan Muhammad Hazriq Daniel, 9, tinggal bersama rakan saya di negara berkenaan,” katanya.

Mohd Nazril menetap di Christchurch sejak Januari lalu. – UTUSAN ONLINE