Penganugerahan itu seterusnya menjadikan Mohd. Khalil sebagai graduan pertama yang berjaya memperoleh ijazah pengajian peringkat tertinggi ditawarkan kolej universiti berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kejayaan yang diperolehi itu tidak datang bergolek malah beliau sendiri melihat kegigihan dan komitmen tinggi serta disiplin Mohd. Khalil dalam mengurus masa antara tugas rasmi dan tugas sebagai pelajar.

“Saya percaya hasil dapatan kajian yang dilaksanakan Mohd. Khalil dalam tesisnya berkaitan sejarah Kesultanan Melayu Melaka sangat berguna serta mampu memberi penjelasan kepada kita bahawa hasrat kerajaan negeri untuk mengembalikan ke­gemilangannya sebagai pusat pelabuhan dan perkapalan maritim dunia boleh berulang kembali,” katanya Ketika berucap sempena Istiadat Konvokesyen ke-21 KUIM di Dewan Seri Negeri, Ayer Ke­roh di sini hari ini.

Selain Mohd. Khalil, majlis turut dihadiri Canselor KUIM, Tan Sri Mohd. Ali Rustam; Pro Canselor KUIM, Tan Sri Abu Seman Yusop dan Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hashim; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar dan Naib Canselor KUIM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Taib Dora.

Mohd. Khalil memperoleh PhD selepas lima tahun melanjutkan pengajian di KUIM serta menyiapkan tesis sejarah bertajuk ‘Kebijaksa­naan Pemerintah Kesultanan Melayu Melaka (1446-1488)’ di bawah penyeliaan Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali.

Jelas Idris, untuk me­nyiapkan tesis tersebut, Mohd. Khalil telah membuat rujukan terhadap lebih 200 buah buku tidak termasuk manuskrip lama, keratan akhbar dan kajian penulis terdahulu.

“Selain itu, Mohd. Khalil gigih berulang-alik dari kediaman beliau ke KUIM untuk berbincang dengan penyelia selain ke Arkib Negara, Perpustakaan Negara, Perpustakaan Melaka, Muzium Ke­senian Islam serta kedai-kedai buku dan muzium di luar negara termasuk Indonesia, China dan Turki.

“Perkara itu jelas suatu proses yang memenatkan namun pada usia menjangkau 80 tahun, Tun tetap gigih me­lakukannya demi matlamat menggenggam segulung ijazah doktor falsafah,” ujarnya.