Wakil kumpulan itu, Ha­ma­ruddin Abdul Aziz berkata, Mohd. Isa juga perlu melepaskan kesemua jawatannya dalam mana-mana anak syarikat yang dimiliki Felda.

“Kami yakin dengan kredibi­liti Shahrir untuk menguruskan FGV dan masa depan Felda serta syarikat itu lebih terjaga sekiranya di­terajui oleh seorang pe­mimpin.

“Pihak pengurusan FGV juga perlu memastikan Mohd. Isa direhatkan daripada jawatan se­mentara siasatan dijalankan sa­ma seperti Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad yang dia­rahkan bercuti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar tersebut, lebih 30 wakil daripada generasi baharu Felda serta peneroka hadir memberikan sokongan dan mendesak agar Mohd. Isa berundur.

Pada 6 Jun lalu, kemelut dalaman FGV bermula apabila Mohd. Isa mengumumkan empat pengurusan kanan FGV termasuk Zakaria diarahkan bercuti serta-merta bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan berhubung dakwaan salah laku urus niaga syarikat.

Sementara itu, seorang lagi wakil kumpulan itu, Jamaludin Che Ros berkata, kemelut dalaman FGV hanya akan menyebabkan masa depan Felda hancur dan lebih membimbangkan harga saham FGV terus merudum.

“Dahulu saham FGV RM4.55, kini merudum sehingga RM1.72. Sekiranya tiada tindakan drastik diambil harga akan terus jatuh, malah boleh mencecah sehingga 50 sen.

“Cukuplah sudah terlalu lama orang luar menjaga FGV, biar anak Felda pula mengambil alih dan pastinya mereka akan lebih bertanggungjawab,” katanya.

Tambahnya, Shahrir boleh menerajui FGV kerana Felda merupakan pemegang saham yang terbesar dalam FGV.