Pertemuan enam mata yang diaturkan pada pukul 3 petang itu antara lain menyaksikan Mujahid menjadi orang tengah berikutan beberapa isu menjadi pertembungan antara Mohd. Asri dan Ramasamy.

Menurut Muhajid, pertemuan yang melibatkan kedua-dua tokoh berkenaan adalah untuk perbincangan tertutup. 

“Saya tidak janjikan apa-apa tetapi saya harap pertemuan ini kita ada sesuatu untuk disampaikan,” katanya kepada pemberita sebelum perbincangan berkenaan dimulakan.

Sebelum ini, Mohd. Asri merupakan antara pihak yang mempersoalkan Ramasamy kerana didakwa menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka.

Timbalan Ketua Menteri II itu bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa menjadi sasaran kerana mendesak pendakwah Islam terkenal Dr. Zakir Naik dihantar pulang ke India. - UTUSAN ONLINE