Menurutnya, ketika itu beliau memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada 11 penduduk kampung baru di Kuala Rui, Gerik pada tahun 2008.

“Pemberian hak milik kekal itu dilaksanakan setelah menerima nasihat daripada ramai pengamal undang-undang yang

menyebabkan pengurniaan itu dilakukan.

“Pemberian itu juga selaras dengan apa yang

terkandung dalam Manifesto Pakatan Rakyat ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas program Sepagi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat di Dewan Sekolah Agama Rakyat, Kampung Changkat Larang dekat Lahat di sini hari ini.

Mohammad Nizar mengakui pemberian hak milik tanah kekal kepada 11 penduduk di Gerik pada 2008 itu dilakukan pada saat-saat akhir sebelum kerajaan Pakatan Rakyat tumbang.

Menurutnya, selepas itu beliau tidak tahu apa yang berlaku setelah kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negeri.

“Sama ada boleh tak boleh (hak milik kekal diberikan) itu kena tanya perundangan, bagaimanapun saya diberikan nasihat oleh ramai pengamalundang-undang yang menyebabkan saya boleh lakukan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming semalam yang tetap mahu kerajaan negeri menunaikan janji untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada tanah kampung baru di negeri ini.

Kor Ming berkata, hal ehwal tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN) yang hanya berperanan memberi nasihat.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini berkata, kerajaan negeri tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada tanah kampung baru kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. - UTUSAN ONLINE