MOHAMED ELIAS
MOHAMED ELIAS

SPR dalam satu kenyataan memberitahu, Mohamed Elias menggantikan Datuk Abdul Ghani Salleh yang telah bersara wajib pada 10 Mei lalu.

"SPR berharap dengan pengalaman beliau yang luas dalam perkhidmatan awam, pelantikan Mohamed Elias sebagai Setiausaha SPR yang baharu akan dapat memimpin urusetia SPR dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan SPR dengan cekap dan berkesan.

"Dalam pada itu, SPR juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Abdul Ghani Salleh, atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada SPR mulai 19 Ogos 2013 hingga 9 Mei lalu sebagai Setiausaha SPR," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Elias, 58, berkelulusan dari Universiti Malaya dan beliau mula menyertai Perkhidmatan Awam pada 1 Julai 1983.

Sebelum dilantik sebagai Setiausaha SPR, beliau pernah menjawat jawatan-jawatan strategik seperti Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Pengarah Penyelidikan dan Dasar, Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Kepenggunaan dan Pengurusan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mulai 24 Mac 2008 hingga 27 April 2014.

Beliau pernah menjadi Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan, Kewangan dan Sumber Manusia, Kementerian Sumber Manusia sejak 28 April 2014 hingga 14 Februari 2017 serta seterusnya Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia mulai 15 Februari 2017 hingga 20 Mei lalu. - UTUSAN ONLINE