Anak sulungnya, Muhammad Adhwa, 32, berkata, bapanya telah beransur pulih dan dijangka dibawa pulang ke Malaysia pada Sabtu depan atau selewat-lewatnya pada 8 Ogos ini, bergantung kepada tahap kesihatannya.

“Saya dapat maklumat dari London malam tadi yang memberitahu keadaan bapa semakin stabil tetapi masih lemah untuk bergerak dan bernafas melalui kerongkong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas mene­rima kunjungan Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Majlis Amanah Rakyat (Mara), Azhar Abd. Manaf di rumah keluarganya di Taman Desa Melang Dua, di sini hari ini.

Azhar menyampaikan wang tunai sumbangan daripada warga Mara Negeri Sembilan untuk membantu Mohamad Sahar.

Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, Mohamad Sahar yang tiba di London bagi menghadiri majlis penyampaian ijazah kejurute­raan anak perempuannya telah diserang angin ahmar kira-kira 20 minit sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow.

Kisah beliau dirawat di Cha­ring Cross Hospital tanpa insu­rans perubatan dan terpaksa menanggung bil perubatan melebihi 46,000 pound (RM250,000) yang menjadi viral di internet.

Sementara itu, di Seremban, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk menanggung baki kos yang perlu ditampung sekiranya sumbangan pelbagai pihak untuk Mohamad Sahar masih belum mencukupi.

Katanya, ia termasuk kos doktor, kakitangan soko­ngan, peralatan dan tambang kapal terbang untuk membawa beliau pulang ke tanah air.

“Usaha ini adalah demi sesama insan dan ia adalah ihsan daripada kerajaan negeri untuk kita pastikan supaya pesakit dan keluarganya dapat dibawa pulang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Perdana Haji Musim 1437H/2016 pe­ringkat negeri di Masjid Kariah Taman Paroi Jaya, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Muhammad Adhwa yang mewakili keluar­ganya melahirkan rasa terharu dan bersyukur dengan keprihatinan Mara dan seluruh rakyat Malaysia terhadap nasib yang dialami bapanya.