Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, banyak pihak menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menyatakan hasrat untuk mengambil bayi yang bakal dinamakan Mohamad Ramadan itu sebagai anak angkat.

Bagaimanapun, kata beliau, para pemohon perlu mengikut peraturan atau prosedur yang ditetapkan JKM sebelum hasrat itu dapat direalisasikan.

“Proses ini bukan mudah seperti disangka kerana kita mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi dan buat masa ini JKM belum boleh melayan permohonan ini.

“Mengikut Akta Kanak-Kanak, banyak lagi perlu dilakukan seperti mendapatkan perintah mahkamah, menunggu dalam tempoh sebulan dan apabila tiada tuntutan daripada waris, barulah boleh kita buat memulakan proses pengambilan sebagai anak angkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat bayi berkenaan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah JKM negeri, Zulkhairi Zainal Abidin.

Semalam, penduduk di da­erah ini digemparkan dengan pe­nemuan bayi lelaki yang bertali pusat bersama uri di dalam tong sampah di hadapan sebuah rumah di taman perumahan tersebut.

Dalam pada itu, Shahaniza berkata, bayi tersebut akan dise­rahkan kepada JKM dan ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak yang dikendalikan jabatan berkenaan selepas selesai mendapat rawatan di hospital.

Kata beliau, bayi itu yang me­nerima dua jahitan di kepala akibat kecederaan, dipercayai terkena objek tajam semasa ditinggalkan di dalam tong sampah kini berada dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan tanda-tanda mempunyai penyakit lain.

“Kita merancang menamakan bayi ini Mohamad Ramadan dengan mengambil keberkatan sempena bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Sementara itu, Zulkhairi menasihatkan agar mereka yang mempunyai masalah peribadi hamil luar nikah untuk menghubungi JKM untuk membolehkan masalah mereka diselesaikan.

Katanya, JKM akan merahsiakan nama individu terbabit dan akan menjaga bayi yang dilahirkan itu dengan sebaik mungkin.

“JKM tidak akan mengenakan apa-apa tindakan kepada individu terlibat malah menjaga ibu-ibu hamil yang datang menemui kami,” katanya.