Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, ini kerana sebelum Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, mereka secara keterlaluan mengkritik kerajaan Barisan Nasional dan mendakwa AGC tidak bebas.

Terbaharu, tular dalam media sosial berkaitan isu Mohamad Hanafiah sendiri dikatakan telah mengedarkan pekeliling kepada Timbalan Pendakwa Raya bahawa tiada penangguhan kes-kes rasuah berprofil tinggi seperti 1Malaysia Development Bhd. dan SRC International.

“Adakah PH telah mengubah pemikiran mereka selepas bertukar peranan? Mohamad Hanafiah mesti meletakkan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Hanafiah semalam menegaskan bahawa AGC adalah sebahagian daripada jentera kerajaan Persekutuan dan jabatan itu menerima arahan daripada kerajaan untuk menjalankan peranan tersebut.

Kata Mohamad Hanafiah lagi, AGC juga akan sentiasa patuh kepada segala arahan kerajaan selagi ia sah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang bertulis lain.

Tambah Dominic, Gerakan berpendirian bahawa AGC mesti memegang prinsip keadilan dan pada masa sama kekal bebas serta bebas daripada campur tangan politik.

Katanya, tanggungjawab AGC adalah untuk menegakkan keadilan dan hanya menyediakan nasihat perundangan kepada kerajaan selain memfailkan pertuduhan berdasarkan bukti yang disediakan polis.

“Mohamad Hanafiah digesa meletakkan jawatan sebagai satu-satunya jalan untuk melindungi kredibiliti AGC atau sebaliknya, rakyat akan mempunyai persepsi negatif terhadap AGC.

“Kini, penyelesaian isu juga tertakluk kepada tangan Peguam Negara, Tommy Thomas,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE