Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi berkata, rancangan NUFAM mengadakan mogok dan protes untuk tidak menjalankan tugas diharap dapat dibatalkan kerana ini boleh menjejaskan industri penerbangan.

“Kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) juga telah melaksanakan program penempatan semula kesemua mereka menerusi Pusat Pembangunan Korporat yang menyediakan latihan pembangunan kepada mereka.

“Pada dasarnya kakitangan yang diberhentikan telah ada persefahaman dan persetujuan mengenai pampasan dan juga pembelaan lain yang kerajaan sediakan serta kakitangan yang diberhentikan juga masih mendapat faedah perubatan selama setahun daripada MAS,” katanya dalam sidang akhbar selepas me­rasmikan Persidangan Pembangunan Global Lapangan Terbang (GAD) Asia 2015, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung kenyataan yang dikeluarkan semalam oleh Presiden NUFAM, Ismail Nasaruddin yang menuntut Malaysia Airlines (MAS) untuk menarik balik semua pemecatan 6,000 pekerjanya dalam tempoh 48 jam.

Turut hadir pada majlis perasmian GAD ialah Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Menurut Aziz, kakitangan MAS yang diberhentikan adalah mereka yang mempunyai pengalaman pekerjaan dan rekod yang baik dan diharap dapat meneruskannya dalam profesion yang lain.

“Ini selari dengan pelan tindakan bagi memulihkan operasi MAS yang terjejas melalui model baharu bagi mengurangkan kos operasinya dan berharap kakitangan yang tidak bernasib baik memahami situasi yang dihadapi MAS.

“Banyak syarikat lain yang bersedia untuk mengambil mereka bekerja berdasarkan keperluan dan kesesuaian mereka,” katanya.