Lebih 500 pengunjung terdiri daripada guru, ibu bapa dan pelajar mewakili 66 buah sekolah hadir bagi mendengar ceramah motivasi dan penerangan mengenai akhbar pendidikan Tutor yang boleh diakses di laman tutor.com.my khas untuk pelajar dan guru di daerah itu.

Bengkel berkenaan yang bermula pukul 8 pagi hingga 3 petang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan II itu dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud turut me­lancarkan tutor.com.my dan menyerahkan sebanyak 6,000 kata laluan kepada pelajar dan murid sekolah merangkumi jumlah penajaan bernilai RM600,000.

Yang turut hadir Ketua Pe­ngarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Maimunah Suhaibul; Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Anjang Ruddin dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Dalam ucapannya, Salleh berkata, penganjuran program itu wajar disokong oleh semua pihak dalam membangunkan sistem pendidikan negara agar selaras dengan enam aspirasi di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPM) 2013-2025.

“Syabas atas kerjasama akhbar Utusan Malaysia melalui Unit Pendidikan yang telah melahirkan akhbar sisipan Tutor yang mampu menjadi bahan alternatif para guru dan pelajar untuk menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Penganjuran Program Pendidikan Bersama Utusan Malaysia ini membuktikan Kumpulan Utusan serius menyokong dan membantu pembangunan institusi pendidikan negara,” katanya.

Bersempena dengan bengkel itu, Unit Pendidikan Utusan Malaysia turut memperkenalkan modul pembelajaran Smart Kota Belud iaitu adunan kemahiran tertentu dalam menguasai mata pelajaran Matematik, Sains, Sejarah dan Bahasa Inggeris untuk membantu persiapan para pelajar berhadapan dengan peperiksaan.

Sementara itu, Wahid berkata, program pembelajaran pintar selama setahun yang julung kali diperkenalkan akan membantu 6,000 pelajar dan murid daripada 66 buah sekolah di seluruh daerah dalam persiapan mereka menduduki UPSR, PT3 dan SPM tahun ini.

“Smart mewakili akronim khusus (spesifik) iaitu pengkhususan kepada UPSR, PT3 dan SPM; boleh diukur iaitu setiap pelajar secara harian perlu menjawab 10 soalan tutor.com.my, dua soalan KBAT, dua soalan tahun lepas, dua soalan klon dan lima soalan diberikan guru.

“Seterusnya ialah boleh dicapai iaitu pencapaian pelajar akan dipantau melalui kad laporan atau soalan summatif dan formatif sekolah manakala jangka masa iaitu selama satu tahun,” katanya.

Katanya, bagi memastikan Smart Kota Belud difahami dan dapat digunakan sebaik mungkin, Program Penataran Tutor telah diadakan sempena bengkel berkenaan yang melibatkan wakil guru jurulatih dan pelajar daripada beberapa buah sekolah.