Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Modul Khas Masyair diperkenal tahun hadapan

Johan Abdullah
Johan Abdullah

MEKAH 7 Sept. – Satu modul khas berkaitan operasi Masyair akan didedahkan dalam bentuk simulasi sebenar kepada bakal jemaah haji Malaysia semasa kursus haji pada tahun hadapan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, melalui modul itu nanti penerangan terhadap gambaran sebenar di Arafah, Muzdalifah, Mina dan melontar di Kompleks Jamrah akan ditunjukkan serta dilakukan sebagaimana yang bakal mereka hadapi pada waktu sebenar di Tanah Suci kelak.

“Berdasarkan maklum balas daripada jemaah haji tahun ini serta pemerhatian di lapangan, selain rungutan yang diterima dalam kalangan jemaah haji semasa di Arafah, Mudzalifah, Mina dan me­lontar di Jamrah, hal itu akan diberi perhatian khusus oleh Tabung Haji,” katanya di Ibu pejabat Tabung Haji bangunan Abraj Al-Janadriyah di sini hari ini.

Johan berkata demikian kepada wartawan Malaysia dalam sidang akhbar khas rumusan Musim Haji 1438 Hijrah yang turut dihadiri Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Katanya, jemaah haji akan diperlihatkan ke­adaan yang tidak selesa dalam khemah penginapan, jarak yang jauh untuk melontar di Jamrah agar mereka lebih bersedia dan menyiapkan diri untuk menghadapi musim haji tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Johan memberitahu, jumlah pesakit yang menerima rawatan adalah seramai 176, di mana 20 orang di hospital Arab Saudi sekitar Mekah dan selebihnya, 156 orang di Pusat Rawatan Tabung Haji Syisyah dekat Mina.

Jumlah kematian setakat ini pula adalah seramai 35 orang iaitu empat di Madinah, tujuh orang semasa di Mina, dua orang di Arafah dan 22 orang lagi meninggal dunia sewaktu berada di Mekah.

“Salah satu faktor yang membawa kepada kematian itu adalah lanjut usia dan berpenyakit,” ujarnya.

Tambahnya, seramai empat orang jemaah tidak dapat berwukuf kerana koma di hospital dan sehingga kini, seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

“Kita akan minta ahli keluarga bagi setiap jemaah yang koma itu datang ke Mekah dan menziarahi mereka untuk tempoh tujuh hari dengan disediakan tiket penerbangan” jelasnya.

Johan menambah, secara ke­seluruhan operasi haji 1438 hijrah ini telah dapat dijayakan dengan baik.

“Tiada insiden yang berlaku. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta kerajaan Arab Saudi,” katanya. – utusan

“Begitu juga kepada semua petugas kebajikan, perubatan, media, sahabat maktab, pembimbing ibadah haji, pakar rujuk, anggota Tabung Haji di tanah air dan Tanah Suci serta semua yang terlibat menjayakan musim haji pada kali ini.

“Kepada jemaah haji, Tabung Haji mengucapkan terima kasih kerana menjaga disiplin yang baik dan dapat memahami situasi kritikal semasa melalui operasi Masyair dan manasik haji. Alhamdulillah pengorbanan jemaah haji amat disanjungi,” kata Johan.

Beliau turut menjelaskan sebanyak 113 penerbangan balik jemaah haji sedang diatur secara berperingkat bermula semalam hingga 4 Oktober ini, sekali gus menyaksikan tamatnya operasi haji ini. – UTUSAN

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain