Menteri Kemajuan Luar Ban­dar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa ini, dua modul baharu iaitu penghayatan pendidikan Islam dan patriotik telah dilaksanakan di kesemua 11,229 tabika Kemas seluruh negara.

“Terdapat tiga modul baharu akan dilaksanakan iaitu memperkasakan pendidikan Islam, me­nanamkan semangat patriotik dan juga menanamkan semangat keyakinan diri dalam kalangan anak-anak tabika Kemas.

“Pada masa ini, dua modul telah dilaksanakan manakala sa­tu lagi modul iaitu keyakinan diri akan siap pada Jun ini sebelum dilaksanakan dalam masa terde­kat,” katanya dalam majlis per­­jum­paan khas bersama ahli Kemas Parlimen Bera di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Kemas, Datuk Amirudin Ariffin.

Menurut Ismail Sabri, usaha mentransformasikan Tabika Ke­­mas amat signifikan dalam mem­berikan pendidikan praseko­lah terbaik khususnya kepada masyarakat luar bandar.

Justeru, katanya, usaha mentransformasikan tabika Kemas di seluruh negara akan dilakukan secara berterusan.

Tambahnya, selain memperkasakan modul pengajaran tabika Kemas, pihaknya juga akan terus memperkasakan lagi kemudahan infrastruktur tabika berkenaan ber­gantung kepada kewangan semasa.

Dalam pada itu, mengenai isu pemberian elaun bulanan kepada bekas kakitangan kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat yang tidak menerima elaun bulanan kerana menamatkan perkhidmatan sebelum usia 55 tahun, beliau berkata, perkara itu sedang diberi perhatian.

Katanya, beliau dan juga wakil Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan perkara itu dalam waktu terdekat.

“Dalam isu ini, kita menyokong PBAKM kerana mereka adalah bekas anggota kita tetapi semuanya akan bergantung kepada keadaan kewangan semasa,” ujarnya.