KUALA LUMPUR 8 Feb. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengubah kaedah pembelajaran modul latihan sekolah memandu dengan melakukan penambah baik agar lebih efisien dan kompeten.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, perubahan tersebut melibatkan pembaikan sistem serta pembaharuan modul teori dan praktikal dengan mengetengahkan latihan pemanduan berhemah.

Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut masih dalam peringkat kajian bagi memperhalusi kaedah-kaedah tertentu agar tidak membebankan rakyat serta memberi kemudahan dalam urusan latihan memandu dan dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan tahun ini.
“Perubahan modul ini melibatkan dua aspek utama iaitu penambahan jam bagi modul praktikal dengan mengurangkan tempoh masa bagi modul teori.
“Langkah ini dilihat mampu menerapkan sikap pemanduan berhemah sekali gus menerapkan kecekapan pemanduan khususnya di jalan raya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua yang meminta kerajaan mengubah modul latihan sekolah memandu mengikut contoh di negara lain termasuk Australia dan United Kingdom (UK).
Dalam pada itu, Shaharuddin berkata, pihaknya komited untuk menyediakan latihan modul komputer di semua Institut Latihan Memandu bagi memudahkan rakyat.
“Ketika ini, kebanyakan institusi latihan berkenaan tidak mempunyai kemudahan ini dan ia secara tidak langsung menyukarkan pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan ujian komputer.
“Selain itu, JPJ juga tidak akan mewajibkan mereka yang mahu mengambil lesen memandu membeli buku panduan memandu seperti yang dilaksanakan sebelum ini,” jelasnya.