Perdana Menteri berkata, dimensi pertama adalah memastikan seramai mungkin rakyat mempunyai kemahiran dan pendidikan tinggi bagi membolehkan mereka memenuhi kehendak industri serta pasaran pekerjaan.

Dimensi kedua, kata beliau, adalah menambah pendapatan rakyat menerusi peningkatan tahap pendidikan dan kemahiran memandangkan mereka yang mempunyai kepakaran serta kemahiran tinggi mampu memperoleh gaji lebih baik.

“Jika hendak dibandingkan pendapatan seorang pekerja mahir dengan pekerja separa mahir, sudah tentu pendapatan pekerja mahir lebih tinggi. Begitu juga pendapatan seorang doktor biasa dengan doktor pakar, tentu doktor pakar lebih tinggi,” katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis perasmian Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman kampus Pahang yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Indera Mahkota 9 di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Pengerusi Lembaga Pengelola kolej universiti itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching dan Presiden kolej universiti ber­kenaan, Datuk Dr. Tan Chik Heok.

Menurut Najib, setiap rakyat tanpa mengira kedudukan atau mana-mana kumpulan etnik sewajarnya diberi peluang sama rata untuk mencapai tahap kedudukan ekonomi lebih tinggi yang mana dalam konteks itu, satu-satunya kekangan adalah sama ada mereka mempunyai cita-cita atau usaha untuk berjaya.

Beliau berkata, dimensi terakhir adalah menyediakan murid dan pelajar dengan kemahiran untuk mengisi jawatan atau pekerjaan pada masa depan yang keba­nyakannya belum wujud seperti teknologi robotik serta nano.

“Sebanyak 60 peratus pekerjaaan pada masa depan masih tidak wujud pada masa ini dan kita perlu bersedia supaya ge­nerasi muda dapat memenuhi­nya,” ujar beliau.

Berikutan itu, Perdana Menteri mahu semua insitusi pengajian tinggi di negara ini termasuk universiti berstatus penyelidikan meningkatkan usaha agar mereka berada dalam senarai kelompok universiti terbaik di dunia.

Kata beliau, laporan menunjukkan lima universiti penyelidikan di negara ini berada dalam kelompok 300 terbaik dunia yang bermakna satu peratus terbaik di dunia.

“Kedudukan Universiti Malaya (UM) meningkat 19 anak tangga ke tangga 114 dan saya telah memberi petunjuk prestasi utama (KPI) kepada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melihat UM menduduki tangga 100 universiti terbaik dunia.

“Kita juga mesti mengantarabangsakan universiti kita yang mana salah satu langkah penting adalah melakukan lebih banyak penyelidikan antarabangsa dan me­ningkatkan jumlah pelajar luar negara termasuk dengan memudahkan pengambilan mereka,” katanya.