Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah itu sebagai menambah baik prosedur operasi standard atau garis panduan di bawah Jabatan Perhutanan Perak bagi memastikan ia hanya diberikan kepada syarikat yang benar-benar layak dari segi kepakaran dan kewangan.

“Untuk makluman dewan yang mulia ini, menurut syarat-syarat yang tidak pernah disemak sejak negara mencapai kemerdekaan, bagi memohon konsesi balak dan ladang hutan di negeri ini, syarikat itu hanya perlu memiliki tukul besi.

“Saya sendiri baru mengetahui perkara ini. Oleh itu, saya memohon maaf atas kekeliruan yang timbul sebelum ini sehingga menimbulkan polemik berkaitan syarikat dua ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah diraja sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faiza berkata, penyediaan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) merupakan salah satu syarat kepada projek pembangunan ladang hutan.

Beliau berkata antara aspek penting dalam laporan itu ialah langkah-langkah mitigasi yang perlu disediakan oleh syarikat seperti menanam penutup bumi, kolam takungan, perangkap lumpur serta lain-lain tindakan untuk mengurangkan impak kepada alam sekitar.

“Syarikat perlu menyediakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan menghantar laporan kajian sampel air dari lokasi yang telah dipersetujui oleh agensi-agensi teknikal dalam EIA secara berkala.

“Selain itu, pemantauan berkala juga dijalankan oleh jabatan berkaitan bagi memastikan syarikat mematuhi semua syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE