Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pada masa ini negara hanya mengimport haiwan ternakan dari Australia dan Thailand.

Katanya, ketidaktentuan harga daging kerana terlalu bergantung pada negara sumber yang sering kali berhadapan masalah kekurangan bekalan.

“Jika kita dapat lebih banyak haiwan ternakan selain dari dua negara yang disebutkan tadi, sudah tentu mampu mengurangkan harga daging kerana bekalan di­terima mencukupi.

“Antara negara lain dicadang­kan ialah Oman dan Afrika Selatan yang dilihat berpotensi memenuhi industri ternakan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pengimport Lembu dan Kerbau serta Kam­bing Biri-Biri, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Tajuddin memaklumkan, Jabatan Veterinar sedang melakukan kajian berhubung perkara berkenaan sama ada memberi manfaat atau sebaliknya.

“Sekiranya banyak masalah yang akan timbul semasa mengambil pembekal dari negara lain, kita tidak meneruskannya,” katanya.

Pada masa sama, Tajuddin berkata, Jabatan Veterinar juga sedang melihat semula polisinya yang selama ini melarang membawa masuk baka kambing biri-biri bagi mengelak penularan wabak penyakit.

Katanya, terdapat sesetengah pihak telah membawa masuk baka haiwan tersebut secara ha­ram terutamanya dari Thailand walaupun wujud larangan sedemikian.

“Namun begitu, kita dapati tiada penularan wabak penyakit walaupun baka dibawa masuk secara tidak sah.

“Sehubungan itu, kita masih mengkaji terhadap polisi ini sama ada ia benar-benar efektif atau tidak,” katanya.