Pada masa sama, Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed turut menegaskan, Rang Undang-Undang MKN tersebut juga tidak mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat seperti didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata, ini kerana, MKN mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan satu kawasan kecil yang berlaku masalah berkaitan keselamatan bagi soal keselamatan sahaja termasuk jenayah rentas sempadan dan keganasan.

“Perkara ini tidak mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong dan hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh isytihar darurat atau menarik semula arahan darurat sekali gus Rang Undang-Undang MKN itu tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.

“Justeru, dakwaan sesetengah pihak kononnya ia bercanggah dan akan menghakis kuasa Yang Dipertuan Agong adalah tidak berasas sama sekali,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Walk To A Library, di sini hari ini.

Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat pakatan pembangkang yang mahu menyerahkan memorandum bantahan Rang Undang-Undang MKN kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Dalam satu ceramah di Parit Bakar, Muar semalam, Presiden PAN, Mohamad Sabu mendakwa Rang Undang-Undnag MKN itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bercadang mengadakan jelajah untuk memberi penerangan mengenainya kepada orang ramai.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, penubuhan akta itu adalah bertujuan menetapkan kedudukan MKN selain memberi lebih pencerahan berhubung bidang kuasa serta peranan jawatankuasa tersebut kepada rakyat supaya perkara tersebut lebih difahami.

Tambahnya, menerusi undang-undang MKN itu antara lain, boleh digunakan untuk mengisytiharkan sesebuah kawasan yang berlaku masalah keselamatan kecil serta memerlukan tindakan segera sebagai kawasan keselamatan dan bukannya darurat.

Pada 22 Disember lalu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang MKN 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.