Ahli MKAA, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, semua pihak termasuk syarikat swasta seperti hotel sepatutnya menyokong usaha tersebut kerana pendidikan keselamatan aktiviti air boleh membantu mengurangkan kes lemas melibatkan kanak-kanak.

”Sebenarnya pendidikan tentang keselamatan aktiviti air untuk kanak-kanak masih tidak dianggap sebagai perkara serius walaupun terdapat ramai yang menjadi mangsa setiap tahun.

Kajian yang dibuat oleh Pusat Penyelidikan Klinikal Perak menunjukkan kira-kira 500 kanak-kanak menjadi mangsa lemas setiap tahun dan merupakan penyebab kematian kedua tertinggi bagi berusia antara satu dan 18 tahun di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang mencadangkan aktiviti pelajaran renang akan diadakan di hotel.

 

Lam Thye menambah, kerajaan mungkin boleh menyediakan insentif kepada pihak hotel dan kelab dalam menjayakan aktiviti tersebut secara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membolehkan pihak berkaitan menyediakan tenaga pengajar mengadakan latihan renang dan menyelamat. - UTUSAN ONLINE