Perdana Menteri berkata, kira-kira tiga minggu lepas, kerajaan memulakan operasi pengangkutan bertaraf dunia iaitu Transit Ali­ran Massa (MRT) dan kini, pusat konvensyen bertaraf dunia.

Jelasnya, adalah amat penting untuk MITEC, bangunan pertama dalam kawasan berimpak tinggi dan pembangunan bercampur KL Metropolis, menjadi contoh kepada projek-projek yang lain.

“Dengan penyerahan bangu­nan itu kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kerajaan akan mempromosikannya sebagai tempat pilihan utama selain menggalakkan penganjuran acara dan persidangan yang bertaraf nasional dan antarabangsa.

“Hal ini selari dengan dasar mesra perniagaan kerajaan yang memperlihatkan Malaysia sebagai negara terbaik untuk dilabur seperti mana yang dilihat dan dilaporkan oleh Wharton School, University of Pennsylvania,” katanya sewaktu berucap dalam majlis penyerahan bangunan MITEC kepada MITI di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

MITEC dibangunkan oleh anak syarikat Kumpulan Naza, Naza TTDI Sdn. Bhd. dalam tempoh empat tahun tiga bulan dengan saiz binaan 139,354.56 meter persegi dilengkapi dengan 11 dewan pameran, dewan pelbagai guna, bilik persidangan, kemudahan media, lounge, restoran-restoran serta medan selera.

Tambah Najib, berdasarkan kemudahan yang disediakan, MITEC akan meletakkan Malaysia di peta dunia yang akan membawa masuk perniagaan-perniagaan baharu dan lebih ramai pelancong ke negara ini.