Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendoakan misi pencarian ber­kenaan berjalan dengan lancar walaupun mengakui tugas tersebut bukan mudah.

Beliau yang memangku tugas sebagai Menteri Pengangkutan ketika tragedi tersebut pada 8 Mac 2014 berkata, apa yang pen­ting adalah keadaan dan perasaan waris mangsa pesawat tersebut.

‘‘Saya doakan misi pencarian ini lancar bagi mencari jawapan kepada sesuatu yang tiada jawapan.

‘‘Namun saya tetap bersyukur kerana masa mengizinkan waris untuk memahami situasi yang berlaku,’’ katanya ketika diminta mengulas mengenai misi terbaru pencarian semula kehilangan pesawat yang membawa 239 penumpang dan kru pada 8 Mac 2014.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata demikian selepas merasmikan Karnival Orang Felda di Felda Ulu Belitong, di sini hari ini.

Januari lalu, syarikat eksplorasi persendirian, Ocean Infinity memulakan misi pencarian bangkai pesawat berkenaan dan menjangka dapat menemukannya pada pertengahan tahun ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas turut mengucapkan terima kasih kepada beberapa negara lain yang sedia bekerjasama dengan Malaysia dalam misi pencarian bangkai pesawat berkenaan.

‘‘Ini antara kelebihan kita, iaitu memiliki ramai kawan yang mempunyai teknologi berkaitan dan sedia memberi kerjasama yang secara tidak langsung merupakan pengiktirafan mereka kepada kita,’’ katanya.