Urus niaga melibatkan sejumlah dana yang besar oleh bank pusat itu turut dipertikaikan oleh banyak pihak ketika itu termasuk media tempatan dan asing.

Langkah tersebut dikatakan bertentangan dengan apa yang lazimnya dilakukan oleh bank-bank pusat lain di seluruh dunia.

Seperti yang diketahui umum, peranan bank pusat di sesebuah negara lebih tertumpu kepada mengawal selia kegiatan yang dijalankan oleh institusi perbankan dan kewangan serta menguatkuasakan semua peruntukan di bawah undang-undang berkaitan.

Namun, BNM nampaknya bertindak melebihi amalan kebiasaan dengan menggunakan dana awam berjumlah berbilion ringgit untuk melakukan urus niaga mata wang asing.

Bekas pegawai kanan Jabatan Ketua Audit Negara, P. Kanason yang terlibat secara langsung dalam proses audit urus niaga wang asing oleh BNM itu pernah mendapatkan pandangan daripada juruaudit di Lembaga Monetari Singapura.

Rakan-rakan sejawatannya di negara jiran itu seterusnya mengingatkan Kanason tentang risiko yang bakal dihadapi sekiranya berlaku masalah dalam urus niaga berkenaan.

Apa yang mereka bimbangkan itu benar-benar berlaku pada 1988, 1989, 1991, 1992, 1993 dan 1994. BNM mengalami kerugian lebih RM30 bilion akibat urus niaga mata wang asing.

Ketika memberi keterangan dalam prosiding pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar tahun 1990-an di Putrajaya semalam, Kanason turut menyatakan beliau telah berusaha mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara.

Cuma, kelihatan seperti ada sesuatu yang tidak kena apabila Kanason menghubungi Tan Sri Ainum Mohamed Saaid yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara ketika itu.

Dalam perbualan telefon itu, Ainum memberitahu Kanason: “Orang atasan cakap jangan campur tangan.”

Siapakah individu yang digelar ‘orang atasan’ tersebut dan adakah beliau terlalu berkuasa sehingga boleh memberi arahan kepada pegawai Jabatan Ketua Audit Negara supaya tidak bertanya lagi tentang urus niaga mata wang asing oleh BNM?

Tidak diketahui sama ada ‘orang atasan’ berkenaan mempunyai kaitan dengan dalang di sebalik skandal yang menyebabkan BNM mengalami kerugian besar.

Identiti individu terbabit dianggap satu misteri yang hanya boleh dirungkai oleh mereka yang mengenalinya dan ada kemungkinan Ainum boleh menjawab persoalan itu sekiranya beliau dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan RCI.