Huda SABER (kiri) dan I.S. Amrit Kaur Dhillon masing-masing dinobatkan sebagai Miss & Mrs. Kebaya paling berbakat di Kuala Lumpur, semalam. mingguan/FAIRUZ IZYANA AYUB

Dua peserta dinobatkan paling berbakat apabila kedua-duanya mempamerkan tarian India dan menerima tepukan gemuruh oleh para penonton.

Pengasas dan penganjur MMK, Jason Hee Jee Pin berkata, pihaknya mengadakan pencarian bakat itu sebagai persediaan kepada peserta bagi pertandingan akhir yang akan berlangsung pada 16 Disember ini.

“Kita sekali lagi membawa kesemua peserta untuk tampil di khalayak ramai sambil menonjolkan bakat dan kebolehan sedia ada mereka serta diadili oleh juri yang berkaliber selain memberi keyakinan dan menghilangkan rasa gementar masing-masing,” katanya ketika ditemui dalam majlis itu dekat sini, hari ini.

Katanya, pemilihan dua peserta pencarian bakat itu tepat kerana masing-masing mempunyai bakat semula jadi dalam tarian.

“I.S. Amrit Kaur Dhillon, 27, kategori Miss menarikan tarian klasik India, belly dan bhangra manakala juri memilih Huda Saber, 28, bagi kategori Mrs. dan menarikan tarian India atau Bollywood kerana dia sangat yakin dapat menyanyikan lagu itu dan menari dengan baik sekali,” katanya.

Jason berkata, kesemua 21 finalis mengikut kategori bujang dan wanita yang sudah berkahwin berumur 18 hingga 50 tahun itu bukan sahaja berpeluang diumumkan sebagai pemenang atau Miss & Mrs. Kebaya Malaysia malah bakal membawa pulang hadiah bernilai RM50,000.

Mengulas lanjut, Jason berkata, pihaknya menganjurkan program itu kerana kebaya sinonim dengan budaya dan warisan Malaysia selain diterima di semua peringkat, tidak mengira kaum.