Menurut Miros, blog itu telah memetik maklumat dalam kertas jurnal tahun 1999 bertajuk Fatal Injuries in Malaysian Motorcyclists ditulis oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bagaimanapun tiada dinyatakan menurunkan had laju motosikal, ia boleh mengurangkan kemalangan.

“Dalam jurnal itu, ada dinyatakan bahawa majoriti (35.1 peratus) kematian akibat nahas melibatkan penunggang motosikal berlaku di jalan raya yang had lajunya 70 kilometer sejam (km/j), diikuti dengan 24.3 peratus kematian yang had lajunya 50 km/j.

“Konteks ayat hanya menyatakan statistik kemalangan melibatkan penunggang motosikal berdasarkan had laju jalan tersebut. Namun, tiada dinyatakan dalam kertas jurnal itu dengan menurunkan had laju, ia boleh mengurangkan kemalangan,” jelas Miros dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Miros, laporan blog itu menggunakan tajuk ‘Had laju motosikal 60 km/j selamatkan nyawa - Mitos terbukti karut!’ manakala jurnal itu diterbitkan oleh International Medical Research Journal.

Tambah Miros, institut hanya ditubuhkan pada tahun 2007 dan pernyataan kajian Miros pada tahun 1999 tersebut adalah tidak benar.

“Dakwaan bahawa penyelidikan ini digunakan oleh Miros bagi mempromosi penurunan had laju motosikal pada masa itu juga adalah tidak benar,” kata Miros.

Pada masa sama, institut itu menasihati semua pengguna jalan raya termasuk penunggang motosikal perlu mematuhi kelajuan seperti yang ditetapkan oleh had laju bagi setiap jalan, sama seperti kenderaan-kenderaan lain.

Jelas Miros, Kementerian Pengangkutan dan jabatan serta agensi di bawah kementerian itu masih dalam peringkat meneliti beberapa cadangan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya secara komprehensif terutamanya melibatkan motosikal bersama pihak-pihak berkepentingan.

Miros juga menggalakkan input daripada orang ramai berhubung cadangan dan maklum balas bagi meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia.

“Pengguna jalan raya disaran untuk terus menunggang dan memandu secara berhemah dan mengamalkan sikap bertoleransi antara satu sama lain. Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama,” kata institut itu. - UTUSAN ONLINE