Projek dikenali sebagai 'Luxury Services Residences' Persiaran Danga Sutera itu akan dijalankan oleh syarikat milik bumiputera Mesra Indah Jaya Sdn. Bhd. (MIJ) dan dijangka bermula pada Jun ini.

Pengarah Urusan MIJ, Halim Shah Abd. Hamid berkata, pembinaan kondominium mewah dengan rekaan kontemporari itu akan mengambil masa selama tiga tahun, namun beliau yakin ia dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

"Pembinaan kondominium mewah 25 tingkat membabitkan 260 unit berciri moden dan dilengkapi prasarana terbaik itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 0.68 hektar yang dibeli daripada UDA Land South Sdn. Bhd.," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah projek kondominium mewah itu yang disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tambahnya, ia akan dijual dalam lingkungan harga RM260,000 hingga RM500,000 terdiri daripada tiga jenis iaitu A, B dan C, sekali gus diyakini mampu menarik pembeli bukan sahaja penduduk negeri ini tetapi rakyat negara jiran, Singapura.

Halim Shah berkata, jenis A dengan keluasan 680 kaki persegi, jenis B (850 kaki persegi) dan jenis C (1,050 kaki persegi) dibina dengan ciri-ciri moden dalam suasana yang kondusif dan bersifat mesra alam.