Data raya merujuk kepada set data yang sangat besar atau data kompleks yang tidak dapat diproses menerusi pemprosesan data tradisional.

Perjanjian itu ditandatanga­ni oleh Pengerusi MICF, Raja Mazhar Mohar Tun Raja Mohar dan Pengarah Eksekutif MICF, Saad Mohib dengan Rakan Kongsi Pengasas Xomnia, William van Lith dan Ollie Dapper. 
Ia disaksikan oleh Pengasas MICF, Datuk Mohd Radzi Abd Latif.

Raja Mazhar berkata, syarikat usaha sama yang akan ditubuhkan dalam tempoh setahun itu boleh membantu merealisasikan matlamat kerajaan Malaysia mewujudkan 20,000 penganalisis data dan 2,000 saintis data menjelang 2020.

“Kami mahu berada di barisan hadapan dalam menyokong dasar kerajaan di bawah Rangka Kerja Data Raya dan ekonomi digital,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, syarikat baharu itu juga bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab antarabangsa bagi keusahawanan data raya menerusi usaha sama de­ngan Xomnia, peneraju datathon di Netherlands.

Ia turut menumpukan pembangunan bakat muda melalui persekitaran kompetitif dalam datathon.

Pengasas Xomnia, Van Lith berkata, syarikatnya sangat gembira atas perkongsian itu memandangkan ia memberi peluang untuk mencapai penyelesaian data raya dan penyelesaian buatan di peringkat global.

“Kami gembira memandangkan kami kini boleh membim­bing bakat di peringkat lebih luas berbanding sebelum ini,” kata­nya.

Memetik contoh perniagaan data raya, beliau berkata, Xomnia telah mencipta dan memba­ngunkan model ramalan seperti bila kejadian kecurian boleh berlaku selain krisis tenaga.

Model perniagaan utama lain ialah menjangkakan berapa lama pekerja akan berkhidmat dengan sesebuah syarikat.

Pelanggan utamanya terma­suk kerajaan, sektor perbankan dan insurans, syarikat penerba­ngan antarabangsa Belanda, KLM, serta polis.