C. SIVARRAAJH
C. SIVARRAAJH

Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarraajh berkata, kenyataan Hsien Loong itu dilihat sebagai tuduhan tidak bertanggungjawab yang hanya boleh merosakkan hubungan baik Malaysia dengan Singapura.

“Sebagai ketua pemimpin, beliau (Hsein Loong) perlu lebih bertanggungjawab dan tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubu­ngan diplomatik kedua-dua negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Hsein Loong ketika berucap pada Konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkata, tuntutan semula Malaysia ke atas Pulau Batu Puteh mungkin ada kaitan de­ngan pilihan raya umumnya.

Sivarraajh menambah, isu Pulau Batu Puteh bukanlah sesuatu yang baharu sebalik­nya, Malaysia mengemukakan tuntutan tersebut pada tahun 2008, iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lagi.

CHONG SIN WOON
CHONG SIN WOON

Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang yang juga berkongsi pandangan yang sama meminta Perdana Menteri Singapura menarik balik kenyataannya itu jika mahu terus memelihara hubungan baik antara kedua-dua negara.

“Beliau harus faham, ini adalah tanggungjawab kerajaan untuk mempertahankan hak negara. Ia tidak berkait dengan politik negara sama sekali.

“Saya percaya Singapura juga akan mengambil langkah yang sama sekiranya perkara yang sama terjadi kepada mereka,” katanya.

Pada masa yang sama beliau meminta, pembangkang supaya tidak memperlekehkan kerajaan sebaliknya berdiri kukuh dengan kerajaan mempertahankan hak negara.

“Jangan kerana perbezaan politik, kita sanggup berpihak kepada pihak asing,” tambah­nya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon pula berkata, beliau tidak melihat sebarang bentuk ancaman kepada Singapura sehingga perlu mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Menurutnya, permohonan Malaysia adalah berdasarkan Undang-undang Antarabangsa dan fakta baharu.

“Kita tidak mencungkil sebarang persengketaan politik. Saya rasa Singapura perlu menerima cara diplomatik kita,” ujarnya.