MHE akan berlangsung selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dijangka dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof dan disasarkan menarik kedatangan lebih 10,000 pengunjung.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa juga akan hadir pada majlis pelancaran pada Khamis ini.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli, pihak­nya menyasarkan jualan seba­nyak lebih RM50 juta sepanjang MHE 2019 berlangsung.

Beliau berkata, sebanyak lebih 300 ruang pameran disediakan kepada usahawan kecil dan sederhana (PKS) tempatan memasarkan produk mereka untuk memasuki pasaran Jepun menjelang penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

“Penganjuran MHE merupakan usaha kerajaan untuk mengeksport hasil usahawan negara ke peringkat antarabangsa khususnya Jepun.

“Kita tumpukan produk dan perkhidmatan halal kerana Ma­laysia adalah negara yang mengepalai urusan perdaga­ngan barangan halal di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Hatta, selain sesi padanan perniagaan bersama syarikat Jepun, ekspo MHE akan menyediakan platform perkongsian ilmu antaranya sesi pocket talk dan forum sebagai persiapan bagi produk PKS tempatan memenuhi stan­dard dan piawaian terkini se­perti pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Yang turut diadakan ialah Majlis Anugerah Cabaran Inovasi Islam (IIC) bagi menghargai usahawan yang menonjolkan pelbagai produk dan perkhidmatan inovasi Islam.

Mohd. Hatta berkata, pe­nganjuran MHE 2019 adalah susulan kepada memorandum kerjasama (MoC) dalam bidang halal Malaysia-Jepun yang telah ditandatangani pada 26 November lalu antara kedua-dua negara dan Majlis Olimpik Jepun.

Di bawah kerjasama itu, ke­dua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang berikut iaitu bantuan kepakaran dalam bidang halal bagi persediaan Sukan Olimpik dan Para­limpik Tokyo 2020, promosi perdagangan dan pelaburan bagi produk dan perkhidmatan halal antara dua negara.

Lain-lain kerjasama membabitkan sokongan dalam pembangunan pensijilan halal, sokongan dalam pembangunan pelancongan mesra Muslim di Jepun dan mana-mana bidang kerjasama halal lain yang dipersetujui.

“Malaysia antara negara yang mempunyai pensijilan halal diiktiraf di seluruh dunia. Kita ambil inisiatif untuk meletakkan diri dalam acara terbesar seperti penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 kerana ia membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan halal mereka,” katanya.

INFO

Kluster terlibat dalam MHE 2019:

  • Makanan dan minuman
  • Bahan ramuan
  • Kosmetik
  • Penjagaan diri/ farmaseutikal
  • Logistik serta bioteknologi
  • Perbankan Islam