Ibu mangsa, Junaidah Basiron, 64, berkata, setiap kali menjelang Syawal merupakan detik sukar baginya apabila teringat kenangan manis mereka sekeluarga membuat persiapan menyambut lebaran.

"Setiap kali sambutan Aidilfitri arwah orang yang paling sibuk membuat persiapan daripada mengemas, menghias, membeli barang keperluan sehingga memasak di dapur.

"Arwah buat itu semua bagi memastikan bahawa persiapan raya lengkap tanpa menyusahkan anggota keluarga yang lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jayor, Pagoh, di sini.

Mohd. Ali merupakan antara yang terkorban dalam nahas penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.

Bakal pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu mengikuti pengajian Ijazah Kedoktoran Falsafah (PhD) dalam bidang Development Neuropsychopathology di Erasmus Universitiet Rotterdam, Belanda.

Jenazah arwah dibawa pulang ke tanah air menerusi kumpulan pertama mangsa MH17 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Pagoh, pada 23 Ogos dua tahun lalu.

Ibu kepada lapan orang anak itu berkata, setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri, arwah pasti akan memasak sambal kegemarannya untuk seisi keluarga dan rakan-rakan yang berkunjung ke rumah.

"Arwah belajar masak daripada makcik, dia seorang yang cukup teliti dan mengutamakan kesempurnaan dalam semua hal termasuk memasak.

"Beliau akan tumbuk sendiri cili kerana baginya rasa sambal yang dibuat dengan cara menumbuk lebih sedap daripada cili yang dikisar, malah ada rakan-rakannya memberitahu makcik mereka rindu masakan arwah kerana masakannya asli dan sedap," katanya.

Junaidah berkata, apabila pulang beraya, beg pakaian arwah penuh dengan barang cenderahati kepada keluarga dan juga barang kelengkapan raya seperti cadar, kain dan alas meja.

"Arwah hanya bawa pulang sedikit baju untuk keperluan dirinya, manakala sebahagian besar beg yang dibawanya berisi dengan barang untuk keperluan kami sekeluarga.

"Kata-kata arwah yang makcik tidak boleh lupakan ialah beliau tidak mahu menyusahkan makcik dan sanggup menangung kesusahan sendiri kerana beliau ingin membalas jasa ibu dan ayah terlebih dahulu," katanya dalam nada sedih. - BERNAMA