Tiga resolusi itu ialah Pasca 2015: pembangunan dan kesaksamaan jantina, mempromosikan hak-hak wanita dan kanak-kanak secara inklusif serta memperkukuhkan rangka kerja perundangan terhadap keganasan wanita dan kanak-kanak.

Pengerusi WAIPA, Senator Datuk Doris Sophia Brodie berkata, semua delegasi wanita ASEAN yang hadir Persidangan Agung Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-36 telah mencapai kata sepakat membabitkan aspek kesaksamaan.

“Semua resolusi ini akan dibawa untuk dibincangkan pada peringkat seterusnya oleh ahli-ahli Parlimen ASEAN untuk dilaksanakan pihak kerajaan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas selesai mesyuarat WAIPA di sini hari ini.

Menurut Doris, kesaksamaan yang diharapkan WAIPA adalah dalam konteks penerimaan semua pihak terhadap kebolehan wanita, bukan sahaja untuk bertindak sebagai penggubal di peringkat dasar tetapi mengepalai sektor tertentu.

Kepada soalan bagaimana resolusi tersebut khususnya dalam aspek kesaksamaan gender itu dapat dilaksanakan secara optimum dalam kalangan negara ASEAN, beliau berkata, perkara tersebut memerlukan komitmen mendalam.

“Kita mengharapkan ahli Parlimen wanita di semua negara anggota ASEAN memainkan peranan lebih aktif untuk menjadi suara kepada golongan yang diwakili agar resolusi ini mampu dicapai seperti kita semua harapkan,” katanya.