Mesyuarat berlangsung selama tiga jam yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman itu merupakan mesyuarat julung kali diadakan sejak ditubuhkan pada 10 Januari lalu.

Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, empat kertas dibentangkan oleh Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid me­ngenai Isu dan Cabaran Kese­lamatan di Ess­zone, selain Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan (Pelaksa­naan Tindakan-tindakan Awam di Esszone.

“Yang turut membentangkan kertas kerja ialah Pesuruhjaya Polis Sabah (Langkah-langkah Pengurangan Kes Jenayah di Esszone), Ketua Eksekutif Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), Datuk Dr. Lee Bee Phang (Kajian Empirikal: Keberkesanan Esscom Dalam Menjaga Esszone),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara anggota Lembaga Penasihat Esszone ialah Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Ke­tua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, kewujudan lembaga penasihat tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Sidang Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memantapkan lagi kaedah sedia ada dengan terma-terma rujukan.

Antara terma-terma rujukan tersebut ialah menasihati jawatankuasa Esszone yang dipengerusikan Musa mengenai langkah-langkah memantapkan serta mengukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam di zon berkenaan berdasarkan Peraturan-peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 dan 2014 serta Arahan Eksekutif 2014.

“Terma rujukan ini juga akan menasihati jawatankuasa Esszone mengenai langkah-langkah meningkatkan kerjasama antara kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri dalam usaha melaksanakan tindakan awam di Esszone.

“Terma rujukan turut mengambil kira mengemukakan cadangan dan syor kepada Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusikan Perdana Menteri mengenai langkah-langkah tambahan dalam meningkatkan keselamatan serta ketenteraman awam di Esszone,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri turut melahirkan keyakinan bahawa lembaga penasihat itu berupaya memantapkan pengurusan keselamatan di Esszone dalam usaha memastikan ancaman jahat seperti aktiviti penculikan untuk tebusan, penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta cubaan pencerobohan pengganas Sulu tidak berlaku.

Selain itu kata beliau, rakyat Sabah khususnya di Pantai Timur perlu sentiasa peka dan prihatin mengenai ancaman-ancaman sedemikian, sekali gus bekerjasama menyalurkan maklumat kepada Esscom.

habis//