Sulaiman Arjan, 60, yang meninggal dunia kira-kira pukul 11.30 malam waktu Malaysia menghantar kiriman mesej tersebut sebelum dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Mekah akibat jangkitan kuman.

Anak bongsunya, Nur Suhada, 30, berkata, mesej tersebut bagaimanapun lewat diterima mereka memandangkan ketika itu arwah bapanya yang merupakan pesara guru sudah ber­ada dalam ICU.

“Ketika arwah bapa memaklumkan dia sudah jumpa beg­nya yang hilang di Mina, dia te­rus memaklumkan yang mahu tidur dengan hanya menaip ‘abah tidur sekarang’ melalui kumpulan WhatsApp keluarga.

“Tetapi, mesej itu diteri­ma kami pada pukul 3.30 petang iaitu dua jam selepas arwah dimasukkan dalam ICU. Bagaimanapun, kami semua sudah bersedia kerana kesihatan bapa memang kurang baik sebelum dia berangkat pada 23 Ogos lalu,” katanya di sini hari ini.

Nur Suhada berkata demikian ketika ditemui semasa mene­rima kunjungan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Tan Sri Mohamad Aziz di Taman Sri Damai, Rengit.

Menurut Nur Suhada, arwah bapanya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Syarai’e di Mekah, dijadualkan pulang bersama-sama ibunya, Salmah Ismail, 59, pada 4 Oktober ini.

“Bapa juga ada menghidap penyakit kanser hidung tetapi melalui mesej-mesejnya dia memaklumkan lebih sihat ketika di Mekah berbanding di sini,” katanya yang memberitahu bapanya tidak sempat melaksanakan tawaf saie.

Katanya lagi, arwah bapanya juga ada menyatakan hasrat untuk meninggal dunia di Mekah sebelum berangkat ke sana.

Dalam pada itu, kunjungan Tabung Haji ke kediaman Allahyarham turut menyampaikan sumbangan takaful khairat kematian, air zamzam dan kurma kepada waris.