Perbuatan itu bagaimanapun ditentang kerajaan negeri apabila tahun lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron memberikan amaran keras terhadap pihak tidak bertanggungjawab terbabit.

Sungguhpun begitu, senario sama seakan berulang kembali apabila satu majlis keagamaan bagi menyambut Maulidur Rasul telah diadakan di Pulau Besar kelmarin.

Wartawan Utusan Malaysia, HARITH NIZAR membuat tinjauan ke Pulau Besar pada hari berkenaan bagi melihat sendiri perjalanan penganjuran program tersebut yang melibatkan kira-kira 150 orang.


MELAKA 21 Jan. -  Kegiatan yang diragui di Pulau Besar dilihat masih lagi berterusan meskipun sebelum ini kerajaan negeri telah memberi amaran keras terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menghentikan akti­viti khurafat di kawasan itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini semalam mendapati kira-kira 150 orang telah berhimpun dalam program yang dinamakan Majlis Maulidur Rasul dan Naik Bendera Kedua.

Perkara yang menjadi persoal­an adalah apabila terdapat sehelai bendera berwarna hijau dengan lambang bulan dan bintang telah diturunkan dari tiang sebelum ditukar dengan yang baharu pada keesokan harinya.

Difahamkan, bendera tersebut adalah sebagai simbolik kepada kemenangan Rasulullah SAW dalam Peperangan Badar pada suatu ketika dahulu bagi memperingati perjuangan ba­ginda.

Bagaimanapun, perbuatan ter­sebut tidak menjadi amalan dalam kalangan masyarakat negara ini terutama bagi mereka yang ber­agama Islam kerana se­ring kali apabila tibanya sambutan Maulidur Rasul, hanya perarakan yang akan berlangsung.

Perkara ini secara tidak langsung menunjukkan terdapat ge­­rak-geri membawa masuk bu­daya asing ke dalam negara tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa dalam bidang agama di negeri ini sama ada perbuatan itu dibenarkan ataupun tidak.

Persoalan utama yang menja­di tanda tanya sehingga hari ini pula, mengapa sambutan tersebut perlu diadakan di Pulau Besar dan bukan di kawasan-kawasan lain dalam negeri ini kerana perbuatan berkenaan sudah berlaku sejak bertahun lamanya.

Apakah signifikan melakukan sambutan di sini sedangkan sekiranya mereka benar-benar mahu melakukan perkara yang baik dan berniat mengajak umat Islam untuk bersama, pihak pe­nganjur sepatutnya boleh berkolaborasi dengan pihak Jabatan Agama Islam negeri?

Perbuatan mencucuk setanggi di tanah masih lagi berlaku meskipun perbuatan itu sudah berkali-kali dilarang oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebelum ini, ibarat ‘masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’.

Program tersebut yang berlangsung seawal pukul 3 petang di­mulakan dengan konsert nasyid, kemudiannya qasidah sebelum memberi laluan kepada solat asar dan terus memulakan upacara menurunkan bendera berkenaan.

Lebih mengejutkan, tiang bendera yang terpacak di satu kawasan di sini difahamkan te­lah ditukar dengan besi kerana banyak kali dirobohkan oleh JAIM ketika sekadar menggunakan buluh.

Jelas sekali pihak terbabit ingkar dan mencabar bidang kuasa JAIM dalam memastikan Pulau Besar bebas daripada sebarang amalan yang bertentangan de­ngan ajaran agama Islam yang dianuti oleh majoriti masyarakat Malaysia.

Paling meragukan, dalam sesi berselawat, nama Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail disebut berkali-kali, berbeza dengan amalan norma masyarakat Islam di sini.

Selagi isu ini berlarutan, selagi itulah Pulau Besar yang merupakan antara lokasi strategik di negeri ini bagi tujuan promosi pelancongan tidak akan maju dan menguntungkan penduduk serta Melaka secara amnya.