Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, Zainuddin yang merupakan ‘orang lama’ sepatutnya mengkaji dan melihat sumba­ngan para huffaz yang keluar daripada sekolah agama tersebut.

“Ada para hafiz yang menjadi imam dan pada waktu yang sama berkarier. Darul Quran Jakim itu sebenarnya untuk melahirkan orang yang bukan sahaja huffaz tetapi juga profesional,” katanya yang dipetik daripada portal Free Malaysia Today di sini hari ini.

Menerusi catatan dalam blognya semalam, zamkata.blogspot.com, Zainuddin turut menulis ‘Pertama sekali langkah mesti diambil untuk menutup semua sekolah tahfiz di negara ini yang tidak memberikan harapan masa depan kepada ge­nerasi baru Islam’.

Beliau turut menulis ‘Cegahlah sekolah-sekolah agama menjadikan pakaian Arab sebagai uniform sekolah. Galakkan memakai songkok, berseluar dan berkemeja. Cegah kopiah dan berjubah. Sunah Nabi tidak ada lagi dalam jubah yang telah pun dimodenkan oleh commercialism’.

Mujahid berkata, pusat-pusat tahfiz juga akan dirangka dengan dasar progresif dari segi imej dan penghasilkan pelajar mereka, namun turut meminta pengendali sekolah mengambil berat soal ke­selamatan dan kurikulum pelajar.

Dengan itu beliau berkata, usaha penambahbaikan tidak memerlukan sekolah tahfiz ditutup, kerana baginya tidak masuk akal langkah itu diambil memandangkan sekolah berkenaan turut melahirkan para huffaz dan pelajar cemerlang.

“Perkara itu bermanfaat kepada umat Islam. Oleh itu apa yang patut dibuat khususnya oleh Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama ialah memperbaiki daripada sudut kawal selia.

“Kawal selia itu maksudnya sekolah tahfiz ini perlu berdaftar dan tidak boleh dibuat secara terasing daripada sistem pendidikan yang ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, apabila sekolah didaftar, kerajaan bertanggungjawab memastikan operasi, kawal selia serta keselamatan sekolah dan masa depan pelajar diberi perhatian.