Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau berpuas hati dengan tindakan peniaga yang mematuhi peraturan berkenaan.

Katanya, ini berdasarkan tinjauan dilakukannya selama tiga hari ini di tiga buah pasar raya besar.

“Setakat tinjauan sehingga hari ini, saya sangat berpuas hati tentang dua perkara iaitu kepatuhan harga yang tidak meletakkan harga melebihi harga siling dan kedua, pengurangan harga dengan margin yang tinggi.

“Ada item yang saya pergi ke pasar raya, pengurangan (harga) sehingga RM5. Saya juga akan sentiasa berhubung dengan rakan sejawat saya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang mengawal bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran semula wajah baharu Pasar Raya Besar Giant Batu Caves di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan GCH Retail Malaysia, Pierre Olivier Deplank dan Pengurus Cawangan Pasar Raya Besar Giant Batu Caves, M.Jeffrey Suresh.

Bercakap mengenai harga ayam proses pada waktu perayaan, tambah Saifuddin,terdapat segelintir peniaga merungut kerana terdapat peniaga lain yang menawarkan harga ayam terlalu rendah.

Ini kerana katanya, terdapat peniaga meletakkan harga ayam pada RM3.99 sekilogram sehingga peniaga lain takut kehilangan pelanggan jika menjual pada harga lebih tinggi.

“Saya ditanya, adakah boleh diambil tindakan jika penjual ayam jual dengan harga RM3.99?. Saya berkata, tidaklah... kerana kita cuma tentukan harga siling, kita tidak tentukan harga lantai. Dari segi persaingan, itu baik untuk pengguna,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE