MAHDZIR KHALID

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyifatkan kejadian itu sebagai paling menyedihkan berkata, siasatan yang melibatkan pihak sekolah dan pihak berkuasa itu dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

“Ini peristiwa yang amat malang berlaku dalam kawasan sekolah melibatkan kontraktor pembersihan sekolah dan seorang pelajar di Negeri Sembilan.

“Jadi, saya minta supaya satu siasatan penuh dijalankan tentang bagaimana keadaan (pem­bersihan) ini boleh berlaku sewaktu raptai hari sukan sekolah. Siasatan ini di antara pihak berkuasa dan sekolah.

“Jadi kita tengok dulu laporan yang akibat kematian seorang pelajar ini. Dalam masa satu dua hari ini kalau boleh dapat diselesaikan,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu mangsa Nur Afini Roslan, 14, mati di tempat kejadian selepas terkena bilah besi pemotong rumput yang melayang dari sebuah traktor mesin rumput ketika kerja-kerja pembersihan dilakukan di kawasan sekolah.

Dua lagi pelajar, Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd. Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gemas.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika pelajar berkenaan men­jalani latihan hari sukan sekolah itu.

Mahdzir pada masa yang sama mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar ber­kenaan.

Beliau juga meminta pihak sekolah dan kontraktor yang dilantik lebih peka dan mematuhi aspek keselamatan sebelum me­lakukan kerja-kerja pembersihan.

“Saya kira ini adalah sesuatu yang ‘common sense’ sepatutnya dalam kalangan pengetua dan guru besar. Yang mana apabila jentera pembersihan seumpama ini digunakan sepatutnya ambil langkah berjaga-jaga untuk elak perkara ini berlaku.

“Jika ada pelajar di padang sepatutnya kontraktor pembersihan tidak mengendalikan mesin di padang. Jika ini dielak­kan perkara seumpama ini tak berlaku. Peristiwa ini amat me­nyedih­kan,” katanya.