Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, isu yang dibincangkan antaranya membabitkan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) Lapangan Terbang Seletar dan pencerobohan perairan Pantai Tuas.

“Mereka akan membincangkan semua isu berkaitan termasuk apa yang berlaku sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandantangani antara Kerajaan Malaysia bersama MASwings Sdn. Bhd. (MASwings) di sini hari ini.

Pada masa sama, Anthony memaklumkan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan melakukan menyiasat sekiranya berlakunya pelanggaran berhubung pencerobohan ruang udara Pasir Gudang, Johor.

Beliau mengulas laporan media yang memetik sehingga kini tiada pengesahan tatacara ILS yang baharu bagi Lapangan Terbang Seletar akan dilaksanakan mulai esok.

Kerajaan Singapura, sama ada menerusi Kementerian Luar, Pengangkutan atau Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pelaksanaannya. - UTUSAN ONLINE