Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, ketibaan Nunes ke negara ini diiringi isterinya, Gisele Sayeg Nunes Ferreira dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar Brazil.

“Sepanjang lawatan Nunes, beliau dijadualkan membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok.

“Beliau juga akan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut Wisma Putra, sepanjang pertemuan yang bakal berlangsung itu, Malaysia dan Brazil akan mengetengahkan bidang kerjasama dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa melibatkan kepentingan bersama.

“Sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1959, hubungan dua hala Malaysia dan Brazil kekal utuh dengan kerjasama erat menerusi pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, keselamatan, pertahanan dan hubungan antara rakyat.

“Pada tahun 2016, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara adalah sebanyak AS$2.73 bilion (RM11.64 bilion) berbanding AS$2.52 bilion (RM10.74 bilion) tahun sebelumnya,’’ kata kenyataan itu.

“Jumlah eksport ke Brazil berjumlah AS$709.1 juta (RM3.23 bilion) dan import dari Brazil berjumlah AS$2.02 bilion (RM8.61 bilion), kedua-duanya pada tahun 2016,” jelas kenyataan itu.