Difahamkan, pihak terlibat akan menggunakan pek guni kerajaan yang sah dengan memasukkan benih ‘haram’ bagi menggaburi perbuatan mereka sebelum ia dijual kepada pesawah.

Mereka berbuat demikian memandangkan harga benih tidak sah lebih murah sekali gus membolehkan kelompok terbabit mengaut keuntungan lebih dengan menjual pada harga sedia ada meskipun kerajaan sudah memberi separuh subsidi bagi setiap guni benih yang dijual kepada petani.

Sehubungan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub sambil melaungkan amaran keras me­negaskan akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi me­neliti dan menyiasat berhubung perkara tersebut.

“Ada kes, tetapi saya tidak mahu menuduh, biar ada siasatan adil dan bebas. Namun isu itu memang ada.

“Saya akan teliti laporan dan kena adil, beri peluang mereka perjelaskan isu berbangkit,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Penggunaan Benih Padi Sah Peringkat Kebangsaan di Pusat Pertanian Sungai Burong di sini hari ini.

Terdahulu, ketika berucap Salahuddin turut memberi ama­ran terakhir kepada syarikat terbabit supaya menghentikan aktiviti terbabit dan berkemungkinan akan mengembalikan semula kerja pembekalan benih padi kepada Jabatan Pertanian sepenuhnya.

“Saya beri amaran terakhir, tetapi saya tidak mahu berlaku zalim, saya akan beri masa kepada mereka sebelum saya memuktamadkan keputusan ini.

“Kita tidak mahu ada peni­puan dan penyalahgunaan ke­rana kita tidak boleh kompromi dengan soal mutu dan kualiti kerana ia beri kesan langsung kepada petani,” tegasnya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada wujud pihak luar yang turut terlibat membekalkan benih tidak sah, Salahuddin membe­ritahu, memang wujud golo­ngan terbabit yang mengambil kesempatan dan licik memanipulasi keadaan.

“Ada juga, mereka ini pandai manipulasi dengan membuat kempen palsu dengan mendakwa negara kekurangan benih dan sebagainya.

“Mereka ini tekan butang pa­nik, dan kemudian pesawah yang tidak mendapat informasi tepat akan membelinya,” jelasnya.

Tambah Salahuddin, buat masa ini terdapat sembilan syarikat yang dilantik bagi membekalkan benih padi sah kepada pesawah seluruh negara.

“Mereka ini ada kontrak tiga tahun, dan pembekalan benih padi oleh pihak swasta telah diambil alih daripada Jabatan Pertanian sejak 2010,” ujarnya.

Isu benih padi tidak sah memberi pelbagai kesan buruk termasuk menjejaskan pengeluaran, tumbuh besaran padi, padi angin selain berisiko tinggi berpenyakit.